Thursday 15 August 2013

[G.A.M.I.S] Surat Terbuka Kepada Syarikat Pengurusan Bas & Pemandu Bas Ekspress.



Assalamualaikum Wrt Brt.

Saya mulakan tulisan ini dengan merakamkan jutaan penghargaan saya kepada seluruh pemandu-pemandu bas di tanah air kita yang rela berkorban masa dan tenaga mereka demi menghubungkan jutaan rakyat Malaysia ke mana-mana destinasi yang dituju. Saya juga masih berfikir tentang betapa besarnya pengorbanan mereka yang kerap meninggalkan keluarga di rumah demi mencari rezeki dan sesuap nasi bukan hanya untuk diri sendiri tetapi isteri dan anak-anak di rumah.

Umum mengetahui hari perayaan yang akan menjelang tiba, kesibukan rakyat Malaysia yang ingin pulang ke kampung halaman pasti akan menjadikan pemandu-pemandu bas untuk bekerja lebih masa daripada waktu kebiasaan sehinggakan kadang-kadang terpaksa mengisi masa separuh hari dalam kehidupannya hanya di dalam bas sahaja. Namun para pemandu tetap menawarkan khidmat terbaiknya kepada para pelanggan agar sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat. Jutaan rakyat Malaysia yang mendapatkan khidmat mereka harus menghargainya.

Namun ada kegusaran yang bermain di hati saya selama hampir 10 tahun menjadi pelanggan kepada banyak syarikat bas ekspress ialah sifat sebahagian para pemandunya yang dilihat agak tidak cakna dengan waktu solat yang sedang berlalu khususnya waktu Subuh yang tiada istilah jamak baginya. Kesungguhan mereka untuk sampai cepat ke akhir destinasi dengan pengabaian terhadap waktu solat yang sekejap itu sedikit sbanyak merisaukan pelanggan muslim yang saya yakin mereka adalah majoriti dalam menggunakan perkhidmatan bas ekspress.

Bagi mereka yang memulakan perjalanan seawal jam 8 -9.30 malam mungkin boleh tiba ke destinasi pada waktu yang lebih awal, namun bagi perjalanan jam 10 malam ke atas adalah berisiko untuk sampai ke destinasi sebelum waktu Subuh. Bahkan kalau dikira pada musim perayaan sekarang, mana-mana perjalanan pun pasti akan mengundang masa yang agak panjang untuk sampai ke destinasi.

Isu solat ialah isu yang besar bagi umat Islam. Kadang-kadang orang-orang berumur mahupun orang wanita yang menjadi penumpang tidak berdaya atau segan untuk memohon kepada pemandu bas untuk berhenti solat ketika masih dalam waktu. Ada juga yang akan diberikan alasan ‘sikit lagi nak sampai’ oleh pemandu bas dan akhirnya meleret ke luar waktu. Justeru saya mengharapkan syarikat bas dan pemandu-pemandu bas yang budiman sekalian cakna akan hal ini bahkan para pelanggan juga harus mengetahui hak mereka untuk pastikan solat mereka terjaga.

Apapun, hal ini hanyalah untuk segelintir pemandu bas yang kurang cakna tanpa menafikan ada juga dikalangan mereka yang sungguh-sungguh menjaga dalam urusan agama mereka. Namun teguran ini adalah untuk menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia agar tidak terkorban solat mereka hanya kerana berada di dalam bas ekspress. Mohon isu solat yang mungkin hanya 2 rakaat, tetapi dipandang besar oleh semua masyarakat Islam di Malaysia.

Muhamad Azan Bin Safar
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia