By: Akh Azam Husni
Ahli sejarah dan para ulama mengatakan bahawa orang yang pertama mengadakan sambutan ini adalah Raja MuzaffrAd-Din Abu Sai'd Kaukabri(wafat 620H), seorang raja sunni di Irbil, Iraq di zaman Sultan Salahuddin Al-Ayyubi 1
Al-hafiz Ibnu Kathir juga menyebut di dalam 'Al-Bidayah wa An-Nihayah' ketika menceritakan tentang kisah Raja Muzaffhar:
"Dan adalah beliau mengadakan sambutan Maulid Nabi SAW pada bulan Rabi'ul Awwal dan menyambutnya dengan sambutan besar-besaran, dan beliau juga seorang yang pemurah, berani, pembinasa(musuh), pahlawan, bijak, berilmu dan adil, moga Allah merahmatinya dan memuliakan tempatnya. Dan telah menulis Al-Hafiz Syaikh Abul Khattab Ibnu Dihyah satu jilid dalam Maulid Nabi SAW berjudul "At-Tanwir Fi Maulid Al-Basyir An-Nazir" , maka beliau menghadiahkan Ibnu Dihyah atas karyanya itu dengan seribu dinar"2
Pujian Imam Ibnu Kathir kepada Raja tersebut jelas menunjukkan satu persetujuan dan pengiktirafan kebolehan majlis sambutan maulid yang diadakan raja tersebut. Jika beliau mengatakan maulid itu haram, maka pastilah Ibnu Kathir mencela dan mengkritik perbuatan raja tersebut.
Menurut Imam Al-Suyuthi pula, Raja Muzaffhar tercatat sebagai raja pertama yang memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW ini dengan perayaan yang meriah luar biasa. Tidak kurang dari 300 000 dinar beliau keluarkan dengan ikhlas untuk bersedekah pada hari peringatan maulid ini.3
Walaupun sambutan maulid telah diamalkan sebelumnya oleh Syiah Fatimiyyun ketika mereka memerintah Mesir dari 362 h hingga 567 h, namun ianya tidak dikira sebagai sambutan maulid yang rasmi dan yang sebenarnya, kerana mereka tidak menyambutnya secara rasmi sepertimana kita menyambutnya dan kerana mereka lebih mementingkan sambutan dan perayaan Syiah.
Menurut ahli sejarah pula, adalah satu kesilapan jika mengaitkan Syiah Fatimiyyun dengan sambutan maulid Nabi SAW kerana sebenarnya golongan Syiah hanya menyambutnya dengan mengagihkan manisan dan sedeqah sahaja. Sebaliknya Raja Muzaffhar menganjurkannya secara rasmi yang dihadhiri para ulama dan fuqaha dengan perayaan dan majlis ilmu dan zikir besar-besaran. Justeru, perlu untuk kita bezakan antara Maulid Syiah dengan Maulid Sunni yang diamalkan kita.4
Ya, maulid Syiah jauh bezanya dengan maulid Sunni. Mereka buat cara lain, dan kita buat cara lain. Kita bukan tiru mereka. Jika amalan ini salah, maka mengapa para ulama seperti Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani Dan Imam As-Suyuti, Imam As-Sakhawi dan lain-lain membolehkan sambutan tersebut? Mengapa ingin menolak pandangan ulama muktabar tentang wujudnya Bid'ah Hasanah?
Bagaimanapun, telah tertulis juga dalam sejarah bahawa sambutan Raja Muzaffhar pada kurun keenam ini telah didahului seorang ulama dan ahlullah bernama Umar Al-Malla'(w 570H) di zaman Sultan Nuruddin Mahmud Zinki pada kurun kelima.
Guru Imam Nawawi, Al-Allamah Syihabuddin Abu Syamah Al-Maqdisi (w 665 H) menyebut dalam kitab sejarahnya:
"Syaikh Umar Al-Malla' seorang yang 'alim yang hebat pelbagai bidang(wafat 570H)...dan adalah para ulama dan fuqaha dan para raja serta pemimpin menziarahinya di zawiyahnya dan bertabarruk dengan semangatnya dan mengharapkan dengan berkatnya.. dan pada setiap tahun,beliau ada ajakan(beliau mengajak dan menjemput) pada hari-hari maulid untuk menyambut Maulid nabi SAW yang dihadhiri pemimpin negeri dan ahli syair dan mengalunkan nasyid pujian kepada Nabi SAW di dalam sambutan tersebut.."5
Wallahu ta'ala a'la wa a'lam..
1: Rujuk Wafayatul A'yan karya Ibnu Khalkan jilid 3 m/s 524 terbitan Darul Kutub Ilmiyah.
2: Rujuk Bidayah Wa An-Nihayah 13/136: Maktabah Syamilah
3: Rujuk Husnul Maqsid Fi Amalil Maulid lissuyuti
4: Rujuk kitab Al-Hayah Al-Ijtima'iyah Fi 'Asr Al-Fatimi karya pakar sejarah Dr. Abdul Mun'im Sultan dan
Tarikh Al-Ihtifal karya Muhammad Khalid Thabit
5: Ar-Roudhotain Fi Akhbar Ad-Daulatain' jilid 1 m/s 189
pic by: http://meali-adk.deviantart.com/art/Muhammad-Peace-Be-upon-Him-116207023
4: Rujuk kitab Al-Hayah Al-Ijtima'iyah Fi 'Asr Al-Fatimi karya pakar sejarah Dr. Abdul Mun'im Sultan dan
Tarikh Al-Ihtifal karya Muhammad Khalid Thabit
5: Ar-Roudhotain Fi Akhbar Ad-Daulatain' jilid 1 m/s 189
pic by: http://meali-adk.deviantart.com/art/Muhammad-Peace-Be-upon-Him-116207023
No comments:
Post a Comment