Bismillah. Assalamualaikum.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila huruf-huruf pertama yang diajar kepada anak-anak kita adalah Alif, Ba, Ta.
Sedangkan mereka mengajar anak mereka menyebut A, B, C, 1, 2, 3.
Mungkin mereka tidak tahu satu huruf Al-Quran yang dibaca itu ganjarannya 10 pahala.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila Al-Quran adalah buku pertama yang diajar kepada anak kita.
Sedangkan mereka mengajar anak-anak mereka membaca buku kimia.
Mungkin mereka tidak tahu Al-Quran itu rujukan untuk berjaya.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila Al-Quran yang ada sudah pandai dibaca.
Sedangkan mereka berbangga kerana anak-anak mereka sudah pandai menyelesaikan masalah kira-kira.
Mungkin mereka tidak tahu Al-Quran itu panduan kepada segala permasalahan yang ada.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila kita hantar anak-anak ke pondok, maahad dan madrasah di usia muda.
Sedangkan mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah elit dan ternama.
Mungkin mereka tidak tahu ilmu agamalah yang akan membentuk diri tatkala dewasa.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila kita berselubung dengan pakaian hitam sampai tak nampak rupa.
Sedangkan mereka bangga atas nama fesyen, bentuk tubuh badan diperaga.
Mungkin mereka tidak tahu hijab itulah penyelamat maruah wanita.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila kita berkopiah, melipat seluar hingga ke atas buku lali sampai tak ada gaya.
Sedangkan mereka enak menghias diri sampai memukau mata.
Mungkin mereka tidak tahu di sebalik sunnah itu ada kejayaannya.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila kita duduk di masjid menghabiskan masa.
Sedangkan mereka pula menghabiskan masa dan wang ringgit di kompleks pasar raya.
Mungkin mereka tidak tahu masjid itu tempat bercambahnya ilmu dan rahmatNya.
Mereka kata kita tolak dunia.
Bila kita tak ada kerja pergi dakwah sini sana.
Sedangkan mereka seronok mengejar nikmat dunia.
Mungkin mereka terlupa masih banyak lagi umat menderita.
Ada banyak lagi mereka kata.
Sampai kawan ana kata biarkanlah saja mereka.
Cara kita dengan cara kita, cara mereka dengan cara mereka.
Tapi ana tak boleh, kerana itu tanggungjawab ana sebagai umatnya.
Biarlah apa mereka nak kata.
Bila kita asyik terkejarkan akhirat sana.
Sedangkan mereka sibuk berusaha untuk berjaya di dunia.
Cuma ana nak ingatkan kejayaan manusia di dunia hanyalah dalam agama dengan berjaya taat perintah Allah Taala dan ikut cara kekasihNya.
Dan kejayaan yang sebenarnya adalah terlepas dari azab seksa neraka seterusnya dapat masuk syurga Allah Taala.
No comments:
Post a Comment