Pagi itu seperti biasa pemuda itu berjalan ke pasar dengan makanan di tangannya. Perlahan-lahan dia mengatur langkahnya menyusuri puluhan manusia yang sedang sibuk berjual-beli hingga terlihat di pandagannya orang yang dia cari. Seorang pengemis yahudi yang tua dan buta. Pengemis itu duduk di satu sudut pasar, apabila ada yang mendekatinya, dia akan berkata, " Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya." Perlahan-lahan pemuda tadi mendekati si pengemis tua.
Apabila menyedari kehadiran pemuda itu, dia berpesan pula pada si pemuda akan bahayanya seorang lelaki bernama Muhammad. Kelihatan sayang benar si pengemis pada pemuda tadi. Berkali-kali dia berpesan perkara yang sama. Masakan tidak, pemuda itulah yang setiap pagi mendatanginya dan menyuapkan makanan padanya. Pemuda itu jugalah yang melihatnya sebagai seorang manusia, saat orang lain melihatnya hanya sekadar seorang pengemis. Walaupun si pemuda tidak pernah berkata apa-apa ketika bersamanya, tapi kehadiran pemuda itu tetap ditunggu-tunggunya setiap pagi. Bukan kerana makanan yang dibawanya, tapi kerana kehadiran pemuda itu benar-benar menyenangkan dia walaupun hingga kini dia belum tahu nama si pemuda.
Sambil mendengar nasihat pengemis tua tadi, tangannya perlahan-lahan menghaluskan makanan yang di bawa tadi, dengan tertib dia menyuapkan makanan itu ke mulut si pengemis. Di bibirnya terukir satu senyuman.
***
Sudah beberapa hari pemuda yang selalu mendatangi dan menyuapkan makanan tidak datang seperti biasa. Rindu juga dia pada pemuda itu. Hendak ditanya orang, dia sendiri tidak tahu nama pemuda itu. Untuk mengambarkan wajah pemuda itu apatah lagi. Wajahnya sendiri tidak bisa dilihat. Mahu tak mahu, dia hanya boleh menunggu...
***
Hari ini ada seorang pemuda mendatanginya. Gembira kepalang si pengemis. Pemuda itu masih ingat padanya. Seperti biasa dia duduk, dan menasihati pemuda tadi. Pemuda itu tanpa apa-apa kata mula menyuapkan makanan pada si pengemis.
Tapi satu perkara yang si pengemis tidak tahu ialah, pemuda yang mendatanginya hari ini bukanlah pemuda yang selalu mendatanginya sebelum ini. Pemuda yang mendatanginya hari ini adalah Abu Bakar, teman pada pemuda yang biasa menyuapkannya makanan. Apabila Abu Bakar mula menyuapinya, tiba-tiba si pengemis berteriak,
"Siapakah engkau?!"
Terkejut Abu Bakar apabila disoal begitu. Mana mungkin dia tahu Abu Bakar bukanlah pemuda yang biasa menyuapkannya. Bukankah dia buta? Dengan tenang Abu Bakar menjawab, "Aku orang yang biasa datang memberimu makan". Di hujung suaranya ada getaran. Dia sedang menahan air matanya.
"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku. Apabila dia datang kepadaku, tidak perlu tangan ini memegang dan tidak perlu mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu baru dia suapkan padaku"
Air Mata Abu Bakar tidak dapat ditahan lagi. Dalam tangisan dia menjawab, "Aku memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya. Orang yang mulia itu telah tiada. Engkau tahu siapa dia?. Dia adalah Muhammad Rasulullah saw"
Tersentak si pengemis mendengar jawapan Abu Bakar. Muhammad? Muhammad yang selalu dia hina? Muhammad yang dia berpesan supaya di jauhi? Muhammad itukah?
"Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku sedikit pun. Bahkan dia membalasnya dengan mendatangiku dengan membawa ku makanan setiap pagi. Sungguh, dia begitu mulia".
Air matanya mengalir laju. Orang yang selalu dihinanya melayan dia lebih lembut dan sopan dari Abu Bakar. Dia bukan tukang sihir! Tidak! Dia bukan penipu! Dia benar seorang nabi! Dengan bersaksikan Abu Bakar si pengemis mengucap dua kalimah syahadah. Hatinya jatuh cinta pada yang bernama MUHAMMAD S.A.W.
source :http://oryza91.blog.ugm.ac.id/2012/05/25/nabi-muhammad-dan-pengemis-buta/
picture by : http://browse.deviantart.com/?q=market#/d30mu9r
No comments:
Post a Comment