Saturday, 15 December 2012

Dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi





"Aku tahu kita kena hormat parents kita, tapi aku tertanya-tanya takkan kita tak boleh rasa marah langsung kat diorang. Kita sebagai anak pon ada perasaan marah jugak", soalan seorang teman ketika kami sama-sama makan tengah hari tempoh hari. Perkara pertama yang bermain dalam fikiran ana ketika dengar soalan ni ialah bagaimana akhlak ana dengan parents ana, redha tak mereka pada ana. Bermain juga di fikiran ana, insiden-insiden yang buat ana kurang setuju dengan keputusan mereka dan bagaimana ana hadapi. Kadang- kadang berjaya, kadang-kadang tak. Biasanya, ana akan selalu ingatkan diri ana tentang satu kisah; kisah Uwais Al-Qarni.

***

Uwais adalah seorang pengembala kambing yang tinggal di sekitar Yaman. Beliau adalah antara orang terawal yang memeluk Islam ketika Islam pertama kali tiba di Yaman. Uwais punya seorang ibu yang lumpuh dan buta. Seperti manusia lain, Uwais juga punya impian. Impiannya, dia mahu bertemu Rasulullah. Hanya ALLAH yang tahu perasaan rindunya pada al-Amin. Hanya ALLAH juga yang tahu bagaimana sedih hatinya bila jiran-jirannya yang baru pulang dari Madinah bercerita tentang baginda, Tetapi bila beliau fikirkan keadaan ibunya, dipendam sahaja hasrat hatinya. Redha ibunya lebih penting dari impiannya.

Kecederaan Rasulullah di medan Uhud benar-benar buat beliau terkesan. Dengan tertib beliau sampaikan hasrat hatinya pada si ibu. Lumrah seorang ibu, dia faham benar perasaan Uwais. Dia benarkan anak kesayangnya itu bertemu kekasih hati dengan pesan supaya pulang segera. Berbunga-bunga hati Uwais. Maka, berangkatlah Uwais ke Madinah.

Sampai sahaja di Madinah beliau langsung ke rumah Rasulullah. Kedatanganya di sambut Saidatina Aishah r.a dengan khabar bahawa Rasulullah masih belum pulang dari medan tempur. Beliau mahu tunggu hingga Rasulullah pulang, tapi beliau teringat pesan ibunya supaya segera pulang. Dengan berat hati beliau minta diri dengan dititipkan salam pada baginda Rasulullah melalui Saidatina Aishah r.a. Pulanglah Uwais ke Yaman dengan rindu yang sarat pada baginda. Masih belum tercapai impiannya.

Setelah pulang dari medan tempur, salam Uwais disampaikan pada Rasulullah. Baginda sudah tahu tentang kehadiran Uwais sebelum Saiditina Aishah r.a maklumkan lagi. Rasulullah memandang Saidina Umar r.a dan Saidina Ali r.a seraya berkata: “Suatu ketika apabila kamu bertemu dengan beliau, mintalah doa dan istighfarnya, beliau adalah penghuni langit, bukan orang bumi.” 

Ketika Saidina Umar r.a menjadi khalifah, beliau dan Saidina Ali r.a sering bertanyakan kabilah yang datang ke Madinah dari Yaman tentang Uwais. Sampai satu ketika Uwais turut serta dalam salah satu kabilah tetapi hanya sebagai penjaga unta. Saidina Umar r.a dan Saidina Ali r.a segera ke khemah beliau di pinggir Madinah. Uwais sedang solat ketika dua sahabat itu tiba. Selesai solat, Umar r.a menghulurkan tangan untuk bersalam dengan beliau Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar r.a dengan segera membalikkan tangan Uwais. Matanya terpaku pada tanda putih di tagan Uwais.


“Kalau kalian ingin berjumpa dengan Uwais,perhatikanlah ia mempunyai tanda putih ditengah talapak tangannya.” sabdaan Raslullah satu ketika dahulu bermain di mindanya. Lantas dua sahabat itu memohon doa dan istighfar dari Uwais. Pada mulanya Uwais enggan, kerana padanya sepatutnya beliau yang perlu mohon doa dari dua sahabat ini. Tapi akhirnya beliau bersetuju.

Beliau tidak sempat bertemu Rasulullah ketika hayat Rasulullah, namun Rasulullah kenal Uwais. Dua sahabat yang akrab dengan Rasulullah sendiri meohon doa darinya, sedangkan mereka lebih akrab dengan Rasulullah. Ada riwayat menyebut bagaimana beribu-ribu orang yang tidak dikenali menguruskan jenazah Uwais ketika beliau wafat hingga mengemparkan penduduk Yaman. Nyata penduduk langit benar-benar menantikan 'kepulangan' beliau.

***

Mungkin kadang-kadang kita terkasar dengan 'parents' kita. Dan mungkin ada sesetengah perkara yang biasa-biasa bagi kita tetapi sensitif bagi mereka. Cubalah yang terbaik untuk memelihara perasaan mereka ye. InsyaALLAH =)

source :
  1. http://haticlassic.blogspot.com/2011/10/kisah-uwais-al-qarni.html
  2.  Petikan buku Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. oleh Norasyikin Ahmad
  3. Picture: http://hsisters.files.wordpress.com/2012/01/muslim-family.jpg

No comments:

Post a Comment